Thursday, 14 July 2011

DILEMA MELAYU-ISLAM 1

“Beribadahlah sebanyak-banyaknya sehingga kamu letih untuk melakukan maksiat!Ungkapan hukama itu menerjah hati saya sepanjang perjalanan KL-IPOH. Sebuk memang sebuk, tapi apakah kesebukan ini jadi ibadah? Ya, saya berharap sangat mudah-mudahan keletihan ini kerana ibadah, doa saya dalam dengus nafas yang perlahan.

Ya, hari-hari yang berlalu terlalu laju. Pulang dari Sri Pengantin Resort di Janda Baik, saya terus berkejar ke Ipoh. Dan akan terus ke Lembah Azween di Hulu Langat, mengendalikan program penghayatan nilai rakyat melalui solat.

Blog ini hanya dapat dijengah sepintas lalu. Saya ucapkan terima kasih yang sudi singgah dan kepada mereka yang meninggalkan “bekas” saya mohon maaf jika tidak dapat memberi respons dengan segera. Walaupun tidak sempat menulis untuk membalas, saya kepilkan sekilas doa untuk semua.

Itu insya-Allah, lebih cepat kelajuannya… Teringat bagaimana satu ketika Sayidina Ali ditanya, berapa jauh antara langit dan bumi? Beliau menjawab,”hanya sekilas doa yang mustajab!”
Oleh sebab keletihan, saya terpaksa menaiki bas sahaja ke Ipoh awal minggu ini.

Bertolak dari stesen bas jalan Duta jam 9 pagi. Dijangka sampai awal tengah hari dan akan mula membentangkan kertas kerja jam 8.30 malam. Saya tidak mampu memandu sendiri, kerana terlalu keletihan. Tempoh di dalam bas saya gunakan sepenuhnya untuk berehat. Sampai sahaja di Ipoh, terus menaiki teksi menuju Hotel Casuarina tempat dijadualkan berlangsungnya majlis muzakarah yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Perak sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak.

Walaupun kedua ibu-bapa saya di Ipoh, saya tidak terus ke sana. Saya khuatir dengan keletihan dan fokus saya pada apa yang hendak disampaikan nanti, saya “terkurang” melayani mereka. Lagipun, baru dua minggu yang lalu saya menziarahi mereka. Insya-Allah, lepas solat Subuh esok saya akan menziarahi mereka. Dalam diam, saya terus berdoa, semoga tindakan saya itu dimaafkan oleh mereka nanti dan diampunkan Allah. Reda Allah itu letaknya pada reda ibu-bapa.

Sepanjang petang saya menghabiskan masa meneliti kembali kertas kerja DILEMA MELAYU-ISLAM: KURANG FIKIR ATAU KURANG ZIKIR. Bukan mudah untuk menyesuaikan – “tune” semula fikiran, kembali kepada aliran dan gelombang subjek yang baru setelah “bergelumang” dengan soal “Solat sebagai mekanisme pembentukan peribadi” yang menjadi teras modul bersama 40 kakitangan Takaful Ikhlas yang dilaksanakan dalam sejak tiga hari sebelum itu.

Malam itu, saya diamanahkan untuk membentangkan kertas kerja pra-muzakarah yang akan dimulakan secara rasminya esok. Alhamdulillah, dengan kerjasama ustaz-ustaz di Jabatan Mufti yang banyak membantu saya dapat menyelesaikan soal teknikal, pembentangan itu berjalan lancar dengan dihadiri oleh mufti-mufti dan wakil mufti seluruh Malaysia, pemimpin-pemimpin politik dan “activist-acitivist” agama dan badan-badan NGO. Tidak kurang juga pegawai kerajaan dan swasta yang turut hadir pada malam itu.

Walaupun agak “panas” alhamdulilah muzakarah malam itu berjalan baik. Saya berdiri atas posisi “daie” yang “tidak ke mana-mana tetapi ada di mana-mana” – maksudnya tidak berpihak, bukan tidak berpendirian. Saya tegaskan dahulu skop perbincangan yang hanya berlegar dalam konteks di Malaysia. Dan saya teguhkan juga pendekatan saya dalam muzakarah adalah dakwah dan tarbiah bukan siasah – ada perbezaan tetapi tidak semestinya bertentangan.

Terbukti, penjelasan awal itu memudahkan saya memberi respons kepada soalan yang datang bertalu-talu sebaik sahaja sesi soal jawab dibuka. Jarang saya lihat suasana yang tidak emosional ketika berbincang soal-soal panas seperti malam itu. Alhamdulillah, sahabat daripada parti PAS dan UMNO, kerajaan dan bukan kerajaan sama-sama “cool” menghadapi perbezaan dan kelainan pendirian. Siapa sangka dalam suasana negeri Perak yang masih “membara” itu, satu muzakarah dapat dilaksanakan tanpa nyala marah dan letusan emosi.

Saya tegaskan perbezaan tidak semestinya satu pertentangan. Malah perbezaan itu satu keindahan jika mampu diuruskan dengan baik. Inilah cabaran orang Melayu-Islam masa kini – kita masih kurang matang untuk menguruskan perbezaan dan memanfaatkan persamaan. Jika kita tidak dapat membentuk satu hubungan berdasarkan “perkongsian bijak” apakah hubungan berasaskan “persaingan sihat” pun tidak dapat diusahakan? Bukankah kita sama-sama masih Melayu dan masih mengaku beragama Islam?

Pendekatan dakwah berbeza dengan pendekatan menghukum – “approach” seorang daie dan mufti agak berbeza. Katalah, seorang kaki botol meminum arak sebanyak 10 botol sehari. Apabila diseru berkali-kali, dia bersetuju untuk mengurangkan kadar bilangan botol yang diminum kepada 9 botol sehari. Jika ditanya kepada tukang hukum, para mufti… apa bezanya hukum minum 10 botol arak dengan 9 botol? Tentu jawabnya, tidak ada beza.

Arak tetap haram diminum walaupun setitis!
Itu jawapan tukang hukum. Ya, benar, betul. Tetapi pendakwah melihat dari sudut yang berbeza. Jika diseru berkali-kali, kaki botol itu telah bersetuju mengurangkan bilangan botol arak yang diminumnya menjadi 9, maka jika dilipat-gandakan usaha menyedarkannya ada harapan yang 9 botol itu berkurang menjadi, 8, 7 dan seterus berhenti secara total. Ini pandangan pendakwah.

Pengurangan yang sedikit (pada tahap kemungkaran) itu sebenarnya pun sudah satu “kemenangan” bagi pendakwah.

Begitu juga dalam menghadapi kematian saudara-saudara baru yang mayatnya menjadi rebutan. Semua itu berlaku apabila status keislaman saudara-saudara itu (semasa hidupnya) jadi pertikaian. Akibatnya, mayat itu jadi rebutan. Orang Islam hendak mengebumikan mayat di perkuburan Islam, manakala “sanak saudara” simati yang bukan Islam hendak mengebumikan di tanah perkuburan agama mereka.

Jika pakar undang-undang sebuk bagaimana hendak melindungi hak pengurusan jenazah Allahyarham melalui undang-undang, pendakwah mungkin melihat insiden itu dari sudut pandang yang lain. Kenapa umat Islam hanya sebuk apabila saudara baru telah meninggal dunia? Padahal semasa dia hidup kita tidak sibuk berdakwah, mendidik bahkan membelanya agar dia berani mendedahkan, mengamalkan dan komited dengan Islam secara terang-terangan?

Kenapa kita tidak berebut-rebut ketika simati masih hidup – berdakwah dan mendidiknya – agar dia hidup secara Islam? Ironi sekali, hanya setelah dia mati baru kita berebut-berebut hendak “mengislamkan” cara pengebumiannya? Saya tidak menolak kepentingan pendekatan undang-undang untuk melindungi hak jenazah tersebut atas kita. Tetapi hak-hak mualaf semasa dia hidup seperti mendapat pembelaan dari segi fizikal, material, perasaan, akal dan jiwa) tentunya perlu utama didahulukan.

Dalam sesi soal jawab juga saya cuba menekankan (dengan nada satu pesanan), bahawa kita seharusnya membatasi amalan “politicing” – jangan setiap masa, ketika dan perkara. Biarlah bermusim. Pertikaian dalam urusan pemerintahan dan pemilihan pemimpin jangan sampai merencatkan perkembangan ilmu, ekonomi, dakwah dan lain-lain. Jangan semua terlibat di sana. Jangan ditinggalkan posisi yang penting hanya untuk terlibat dalam soal politik.

Mari kita imbau pertikaian politik antara Sayidina Ali dan Sayidina Muawiyah – pertikaian yang terlalu seru hingga melibatkan pertumpahan darah atas ijtihad masing-masing dalam soal siasah. Sejarah (dicatat oleh Imam Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin) betapa ada sahabat-sahabat utama Rasulullah yang mengambil sikap berkecuali. Dan yang paling penting, perkembangan Islam di sudut ilmu, dakwah Islamiah, ekonomi, budaya dan peluasan daerah Islam tidak terencat langsung.

Ya, mungkin ada yang berhujah pertikaian Melayu-Islam sekarang apakah boleh disamakan dengan pertikaian Sayidina Ali Vs Muawiyah? Saya saya akui, pertikaian itu berbeza dasar dan prinsipnya. Tetapi apa pun, Melayu di sebelah mana pun masih mengakui Islam. Soal hati, pulangkan pada Allah.

Menolak hukum Allah, memang boleh menjatuhkan seseorang Islam sama ada fasik, zalim atau kafir. Tetapi “soal kafir” itu terlalu berisiko untuk kita menetapkannya.

Mendakwa seseorang atau sesuatu pihak fasik atau zalim tidak sama dengan menuduhnya sebagai kafir. Pernah Sayidina Khalid Al Walid sendiri dimarahi oleh Rasulullah SAW kerana memerangi orang yang masih mengaku Islam. Jadi, pada pandangan saya yang terbatas, selagi pihak kita dan lawan masih Islam – tentu ada titik persamaan di mana-mana. Marilah kita cari, dan manfaatkan persamaan itu. Yang masih berbeza, mari kita terima realitinya – teruslah “berperang” dan tentunya wajib dilaksanakan secara beradab dan ikhlas jua!

Sayang, bila kita bergaduh hampir dalam setiap masa, setiap perkara dan suasana. Saya cuba melalui jalan tengah untuk bercakap kepada sahabat-sahabat yang pelbagai aliran malam pada malam itu. Saya cuba, berjaya atau tidak… saya pulangkan kepada Allah dan orang Islam yang lain menilainya.

Selepas Subuh esoknya, saya menziarahi ayah dan ibu… picit-picit kakinya dan berangkat semula ke KL dengan bas yang paling awal. Sempat saya semak email dan blog. Saya masih ternanti-nanti satu email undangan ceramah yang telah dibuat secara mulut sebelum itu. Serba-salah, untuk membuat keputusan justeru ada dua tiga program yang bertembung. Tetapi saya lebih utamakan penulisan dalam majalah SOLUSI bilangan ke 10 – isunya sudah ada, tetapi masih terkial-kial untuk menulis. Tajuknya, SUDAH BERKESANKAH SOLAT DAN PUASA KITA?

Mudah-mudahan Allah permudahkan segalanya. Maaf, saudara-saudaraku, ku titipkan catatan ini justeru ingin mengharapkan doa darimu. Semoga semua kita diberi keikhlasan dalam apa jua yang kita buat. Mari kita sibukkan diri kita sesibuk-sibuknya. Mengapa? Kembali ke ayat pertama tulisan saya ini…

Sumber: http://genta-rasa.com/2009/07/18/catatan-perjalanan-dilema-melayu-islam/
(CiK WiD mohon share ya? TQ)

No comments:

Post a Comment